Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Pedas, harum, manis dan pahit bergaul mesra
dalam resepi warisan sejak dahulu kala
Pada kelembutan ketupat dan lemang
Pada keenakan lodeh dan rendang
Bersalut segala kreativiti dan aspirasi
melahirkan cita rasa yang serasi dan harmoni
Begitulah kiasan cinta antara kita
Cinta mempertemukan semua yang berbeza
Segala yang pahit,
yang manis, yang suka dan yang duka
buat menjalinkan kesatuan rasa
Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai bukan untuk bertikai
Di alam perkahwinan kita dipertemukan
Bagai ramuan dalam satu masakan
Inilah menu hakiki
Inilah kasih sayang sejati
Perisa di hati suami dan isteri!